Saturday, 21 September 2013

Apa ada pada Majlis Taklim, Maulid Nabi dan Program Mahabbah Rasulullah?

Kalau yang sudah biasa menyertai majlis taklim, Majlis Maulid dan Program Mahabbah Nabi, pasti sudah tahu apa pengisian majlis ini. Namun, yang tidak pernah menyertai, anda sangat dialu-alukan. Program ini adalah untuk sesiapa sahaja. Anda tidak akan dihalau, tidak akan terasa asing dan tentu tidak kekok dalam majlis ini. Apabila kita melangkah masuk sahaja ke dalam majlis ini, kita adalah setaraf walaupun ada hakim mahkamah, ketua polis atau menteri dalam majlis mulia ini. Perkara yang membezakan kita adalah taqwa kepada Allah. Taqwa kita adalah rahsia Allah, manusia tidak dapat menilainya.


Contoh Majlis Terbaru

Sesungguhnya apa ada dalam majlis ini? Jika ada golongan yang terus-menerus membidaahkan majlis seumpama ini, sebaiknya kalian bacalah dulu isi kandungan majlis ini. Majlis ini tonggaknya ialah mahabbah (cinta) kepada Rasulullah. Segala macam masalah di dunia ini pasti saja mampu diselesaikan dengan cinta kepada Baginda. Majlis ini ialah majlis cinta, majlis ketenangan dan majlis kasih sayang kerana Allah. 

Dalam majlis ini, seringkali diisi dengan qasidah atau syair puji-pujian kepada Rasulullah. Qasidah itu pula bersambung sanadnya kepada golongan sahabat Rasulullah yang mulia seperti cucu Baginda dan golongan Ansar. Bolehkah melantunkan pujian kepada Rasulullah? Jawabnya, tentu saja boleh. Kalau kepada sesama rakan pun kita saling memuji pakaian, kepandaian dan kemewahan mereka, inikan pula Baginda makhluk termulia. Takkan tidak mahu dipuji. Allah memuji Rasulullah di dalam Al-Quran dengan berfirman yang mafhumnya bahawa Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, serta banyak lagi pujian lainnya. Sungguh sombong mereka yang sepanjang hidupnya tidak ingin memuji kepada Rasulullah yang bakal mensyafaatinya di hari kiamat.

Sepanjang qasidah, kami seolah-olah tenggelam dalam kerinduan kepada Allah dan Rasulullah. Terkadang sehingga mengalir air mata tanpa disedari. Sepertinya ruh Rasulullah menghadiri majlis ini. Bahkan ada yang tidak mampu mengawal diri mereka lantaran cinta yang membuak-buak, sehingga mereka kelihatan menari-nari dalam lantunan zikir dan qasidah.

Selain itu, majlis ini dihadiri oleh para alim ulama yang tentu mempunyai berkat di sisi Allah Azza Wa Jalla. Sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud, ''ulama itu adalah pewaris para Nabi". Mendekati pewaris Baginda adalah ubat hati kami. Lapar, demam, sakit dan apa sekalipun kepayahan mampu kami ubati dengan mendekati para ulama yang benar akidahnya. Nasihat mereka umpama butiran mutiara yang sentiasa kami sematkan. Mereka tidak mencaci, mengumpat atau mencela, bahkan kata-kata mereka sekadar terkandung nasihat yang menyeru kebaikan. Datanglah majlis ini, baru kalian tahu erti kelembutan dalam dakwah. Kalian tidak akan merasa tercela atau terhina dalam majlis ini.

Apabila majlis tamat, kami saling bersalaman. Persaudaraan terasa sangat erat dan kukuh. Walaupun ada yang kami tidak kenal, namun sebenarnya kami sangat kenal atas dasar cinta kepada Nabi. Kami bersalam dengan para ulama. Kami mencium tangan mereka, mereka mencium tangan kami. Semuanya saling menghormati dan berkasih sayang. Tiada perasaan ujub, takabbur dan riak.

Kami meninggalkan majlis ini dengan hati yang tenang, serta menaruh harapan agar dapat berkumpul lagi dalam majlis seumpama ini di dalam syurga nanti, yang tentunya akan diketuai oleh Penghulu kita, Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam...

Hadirlah bersama dengan kami bagi yang tidak pernah hadir. Kami sentiasa merindui kalian sekalipun kalian pengikut Muhammad bin Abdul Wahab atau Bin Baz atau Albani. Orang kafir pun berduyun-duyun datang melihat majlis ini, dan kami tidak menghalau mereka. Kami sambut dengan kasih sayang tentunya!